Saturday, December 4, 2010

Kes penderaan kanak-kanak di Malaysia

PERANGKAAN Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menunjukkan kes penderaan kanak-kanak di negara kita semakin meningkat setiap tahun sehingga mencecah pertambahan 700 kes seperti yang dilaporkan antara 2006 hingga 2008.

Lebih menyedihkan dan merisaukan kita semua statistik itu juga menunjukkan satu daripada dua kanak-kanak yang dilaporkan menjadi mangsa deraan sepanjang 2008 sebenarnya didera oleh ibu bapa mereka sendiri.

Keadaan ini menunjukkan kes penderaan di negara kita semakin membimbangkan dan perlu ditangani dengan segera. Keselamatan anak kita ini perlu diberi perhatian khusus oleh semua pihak terutama ibu bapa sendiri sebagai penjaga dan pelindung mereka sepanjang masa.

Atas dasar itu kita wajar menyokong usaha dan inisiatif Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNICEF) di negara ini yang mengambil inisiatif melancarkan kempen 'Get On Board-Raise Your Hand. Stop Child Abuse Now' bagi memastikan golongan masyarakat terbabit secara langsung menghalang dan menyelamatkan mana-mana kanak-kanak daripada didera.

Usaha sebegini dilihat hadir tepat pada masanya setelah mengambil kira statistik JKM yang membimbangkan kita semua. Mutakhir ini pelbagai kes penderaan ke atas kanak-kanak didedahkan oleh pihak media yang ada kala begitu menyedihkan dan meruntun hati dan perasaan kita.

Sebagai contoh, dua kes penderaan yang menyayat hati iaitu kes penderaan Syafiah Humairah Sahari berusia tiga tahun dan K. Haresyarren berusia 18 bulan. Tidak berperikemanusiaan dan lebih teruk daripada haiwan.

Itulah ungkapan yang keluar dari mulut majoriti rakyat Malaysia yang terbaca mengenai nasib yang menimpa dua orang kanak-kanak itu. Seluruh rakyat Malaysia mengutuk keras kedua-dua kejadian tersebut yang meruntun hati, jiwa dan perasaan setiap seorang daripada kita.

Syafiah misalnya, disahkan meninggal dunia akibat penderaan yang teruk oleh teman lelaki ibunya sendiri. Hasil bedah siasat pula menunjukkan Syafiah meninggal dunia kerana pendarahan pada otak dan mengalami kerosakan buah pinggang akibat dihentak dan ditendang dengan kuat oleh suspek. Kulit kepalanya juga dikatakan terkoyak kerana dipijak dan ada kesan cucuhan rokok pada bahagian kaki dan dagunya.

Justeru, di samping usaha UNICEF, aspek penguatkuasaan undang-undang juga perlu diberi penekanan. Pelaku seperti ini perlu dijatuhkan hukuman yang berat dan setimpal yang bukan saja boleh menjadi balasan kepada pelaku malah boleh dijadikan sebagai pengajaran kepada seluruh anggota masyarakat.

Justeru, kita perlu bertindak segera untuk memperbetulkan keadaan ini sebelum berlarutan. Semua pihak perlu berganding bahu menyelamatkan institusi kekeluargaan di negara kita. Hanya keluarga yang bahagia dan harmoni mampu melahirkan masyarakat yang cemerlang dan hebat.

Kita harap baik pihak kerajaan, jabatan agama mahupun badan bukan kerajaan (NGO) dapat memainkan peranan yang lebih agresif dalam mendidik kembali masyarakat kita mengenai nilai kekeluargaan sejati seperti kasih sayang dan cinta agar kita dapat melahirkan masyarakat madani yang progresif seperti kita idamkan supaya kita lebih bersedia untuk menongkah arus pemodenan yang penuh dengan pelbagai dugaan dan rintangan ke atas sistem nilai dan sosial penduduk negara ini.

No comments:

Post a Comment